Pelawat Blog

RAHSIA CINTA PASANGAN CEMERLANG


Pasangan Yang Cemerlang – Semua orang yang berpasangan ingin mempunyai sebuah perhubungan yang sentiasa ceria, kukuh, mantap, penuh dengan cinta dan romantik, dan juga kalau boleh tidak berlaku konflik di dalamnya. Namun “tradisi” dalam perhubungan itu sendiri tidak memungkinkan ia bebas dari berlakunya perselisihan faham, “bermasam-muka”, terasa hati dan “perkara-perkara yang sewaktu dengannya.”

Pasangan yang cemerlang bertengkar dengan bersebab. Mereka tidak bergaduh besar dan tidak terlalu mengikut emosi bila keadaan menjadi tegang. Pasangan yang tidak berfungsi dengan sempurna juga bertengkar atau mungkin tidak, tetapi apa yang pasti ada pada pasangan seperti ini ialah mereka menyimpan perasaan tidak puas hati dan selalunya membenarkan perasaan ini bertambah dalam diri. Masalah utama kepada setiap pasangan ialah perasaan tidak puas hati dan geram. Ia umpama barah yang merebak tanpa disedari dan mempengaruhi dalam tindakan dan perkara yang lain. Bila perasaan ini semakin terbina dalam diri, bertambah dan berkembang, ia mula memberi kesan ke atas persepsi kita terhadap pasangan. Trauma semasa kanak-kanak atau perhubungan yang lepas selalu juga menghasilkan perasaan geram/tidak puas hati yang ditujukan dalam sesuatu perhubungan yang baru.

Macamana seseorang boleh jadi seperti ini? Perasaan tidak puas hati adalah perasaan marah atau geram yang terkumpul atau bertambah secara perlahan-lahan dalam diri seseorang akibat daripada melakukan atau memberi sesuatu dengan berlebihan berbanding dari apa yang diperolehi. Memberi dengan berlebihan dari apa yang anda dapat semula adalah baik sekiranya ia berpada-pada. Namun, tiba pada satu masa ini akan membuatkan seseorang itu rasa ditipu atau dipermainkan.

Ramai wanita percaya bila seorang lelaki hadir dalam hidupnya, inilah masa untuk dia menerima. Dalam hati dia berkata, “Akhirnya, aku dah ada seseorang untuk menjaga, mengambil berat kepada aku seperti aku mengambil berat terhadap orang lain.” Hakikatnya lelaki itu tidak tahu pun bahawa dia sepatutnya mengisi segala kekosongan yang wanita itu ada dan fikirkan.

Anda perlu ingat perkara ini. Lelaki bukanlah satu kejadian yang dapat memahami diri anda dengan mudah. Sekiranya anda tidak memberitahu dan tunjukkan kepadanya bila dia melakukan sesuatu yang melukakan hati anda, kebarangkalian dia terus melakukan perkara yang sama itu tinggi kerana dia tidak tahu, tidak sedar yang dia telah melukakan anda. Ini pasti akan menambahkan lagi luka di hati anda kerana kelihatannya dia hanya “buat bodoh” seolah-olah tidak ada apa pun yang berlaku

Sebagai orang yang matang dan dewasa, konflik sentiasa dihadapi dalam sesuatu perhubungan intim dan istimewa. Kalau anda ingin berada dalam sesuatu perhubungan dan dalam masa yang sama anda tidak mahu mengambil risiko, anda perlu lupakan sahaja idea atau impian untuk berpasangan apatah lagi berkahwin. Terlibat dalam sebuah perhubungan sebagai seorang yang matang dan dewasa bermakna anda perlu dan mesti berhadapan serta mengambil risiko.

Ada masanya anda perlu berkata sesuatu, menunjukkan, dan menegaskan sesuatu perkara dan bertanya sesuatu soalan yang kelihatan seolah-olah memalukan atau melukakan pasangan anda. Sekiranya anda tidak mampu atau tidak boleh mengambil risiko dalam perhubungan bersama pasangan anda, sesuatu yang pasti, anda tidak mungkin jadi semakin intim dengannya. Tentang isu tertentu yang anda rasa pasti anda tidak perlu timbulkan, maka janganlah langsung anda timbulkan perkara tersebut.

Menekan/memendam perasaan marah memberi kesan ke atas bahagian yang paling penting dalam diri setiap wanita, HATInya. Ini adalah bahagian yang kita semua miliki dalam diri kita. Ia adalah separuh daripada psikologi kita yang dipanggil bahagian yang mempunyai tindakan luar sedar dan tugas utamanya adalah untuk melindungi dan membolehkan kita terus hidup.

Sewaktu kita kecil, bahagian ini bertanggungjawab dalam membantu untuk kita terus hidup dan mendapat kekuatan. Bila kita rasa terancam, bahagian luar sedar ini mula bertindak sebagai pertahanan untuk keselamatan diri apatah lagi bila ibu bapa atau penjaga kita tidak melakukan sesuatu, HATI kita akan mula bertindak dalam mod untuk menyelamatkan kita.

Untuk menggambarkan perkara ini, andaikan anda berada dalam sebuah keluarga. Dalam keluarga ini, anda berasa seolah-olah tidak mendapatkan kasih-sayang (atau tidak difahami, tidak cukup selamat, dsb). Mungkin juga tidak mendapatkan kemesraan yang mencukupi. Dalam keadaan ini, hati anda perlu mencari jalan untuk menyelamatkan kanak-kanak yang masih tidak berdaya ini, supaya anda dapat mengharungi situasi yang seumpama itu. Terasa juga ingin mengadu kepada orang lain tetapi anda terfikir apakah yang mereka boleh buat? Akhirnya, hati anda meyakinkan anda yang anda sebenarnya tidak perlukan kasih-sayang sama sekali.

Dalam usaha untuk membuatkan anda rasa tenang, hati anda berkata, “Anda tak perlu rasa disayangi. Percayalah, anda akan ok tanpanya”. Hati anda perlu “menipu” anda dan meyakinkan anda bahawa apa juga kehilangan yang anda rasakan adalah tidak penting dan anda tidak perlu rasa kecewa. Ini membolehkan anda membesar dan dalam masa yang sama anda tidak sedar betapa sebenarnya anda sangat memerlukan kasih sayang dan belaian.

Kemudian, hanya untuk memberi peringatan kepada anda ya, keadaan ini akan meletakkan seolah-olah satu pagar kawat yang berduri di sekeliling hati anda supaya bila ada sahaja harapan yang anda rasa atau letakkan ke atas sesuatu atau seseorang, hati anda yang dipagari itu akan mengingatkan anda bahawa menaruh harapan hanya akan melukakan anda dan membuat anda kecewa. Bila saya katakan pagar kawat yang berduri, saya merujuk kepada perasaan yang kuat seperti ketakutan, keraguan, kekecewaan atau kelukaan.

Perkara seperti ini mungkin berjaya dilakukan dengan baik ketika zaman kanak-kanak dan kemudian anda pun dewasa. Semakin anda meningkat dewasa, sesuatu dalam diri anda mula berkata, “Tidak, sebenarnya aku inginkan satu perhubungan di mana aku disayangi, dibelai dan dimanja”. Jadi anda mula membenarkan orang lain mendekati anda dan sebagaimana dalam “dating”, perkenalan, percintaan, berpasangan, atau pun perkahwinan, pada peringkat awal hampir segalanya amatlah indah.

Namun demikian, perasaan yang indah ini mula membawa kembali kenangan dilukai dan kekecewaan yang telah anda lalui, iaitu kenangan semasa kecil dahulu bila anda mula menaruh harapan hanya untuk dilukai kemudiannya. Jadi pagar kawat yang berduri ini mula menjelma dan menaikkan dirinya di sekeliling hati anda dan tanpa sebab-sebab yang jelas, anda mula mensabotaj perhubungan anda sendiri. Dalam masa yang sama, pasangan anda terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apa salahnya dia?

Baiklah, dari perspektif hati anda, anda sedang dilindungi. Hati anda merasakan yang anda berkemungkinan akan dilukai sekali lagi. Walaupun anda bukan lagi kanak-kanak pada masa ini, perhubungan membuatkan anda “terdedah” seperti mana kita semua masih di zaman kanak-kanak. Sebab itu, bila kita terluka atau terasa hati, kita selalu bertindak primitif dan segalanya dirasakan bersifat peribadi. Ini sebabnya kebanyakan lelaki dilihat sukar untuk memberi komitmen dan kebanyakan wanita sukar untuk membenarkan seseorang mendekatinya atau mempunyai sebuah perhubungan yang berkekalan. Hati mereka percaya mereka masih lagi memerlukan perlindungan walaupun ini akan menjauhkan mereka daripada sebuah perhubungan yang mereka sangat inginkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...