Pelawat Blog

Plus Ronda Edar Borang Kaji Selidik

KUALA LUMPUR: PLUS Expressways Bhd menaik taraf perkhidmatan mereka melalui penjenamaan semula PlusRonda 1Malaysia dengan melancarkan borang kaji selidik perkhidmatan PlusRonda, semalam.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata pengguna lebuh raya kendalian PLUS Expressways akan diberi borang kaji selidik berkenaan selepas menerima perkhidmatan PlusRonda 1Malaysia apabila mereka berdepan masalah sepanjang pemanduan.
“Bermula hari ini (semalam) kami bekalkan sejumlah borang terbabit kepada pasukan PlusRonda untuk mendapatkan maklum balas pengguna lebuh raya sama ada pujian atau rungutan.
“Kita juga akan muat turun borang berkenaan di internet melalui laman web PLUS bagi kemudahan pengguna memberi maklum balas untuk diambil tindakan susulan,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat operasi PlusRonda 1Malaysia, di sini semalam.

Noorizah berkata, penjenamaan semula ini juga sejajar dengan pelaksanaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertujuan memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata, sebelum ini, melalui dua kaedah terdahulu iaitu panggilan telefon dan e-mel, PLUS menerima 52 rungutan dan 46 pujian terhadap perkhidmatan mereka sepanjang Januari 2010 hingga Mei lalu.

Katanya, kaedah terbaru ini membolehkan PLUS memperbaiki sistem perkhidmatan dengan cekap kerana memperoleh maklum balas secara terus daripada pengguna. Secara keseluruhan, PLUS mempunyai 358 petugas PlusRonda 1Malaysia di tiga wilayah dengan 126 kenderaan dan 129 pasukan.

Sementara itu, beliau berkata PLUS juga memperuntukkan RM700 juta setahun, khusus bagi kepentingan lebuh raya kendalian mereka.

“Daripada jumlah itu, RM500 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan RM200 juta bagi naik taraf infrastruktur dan perkhidmatan lebuh raya,” katanya.

sumber: berita harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...