Pelawat Blog

Memo Editor Tsunami beri kesan kepada pekerja

ROMPIN - Kementerian Sumber Manusia masih menunggu laporan sejauh mana pelabur Jepun di negara ini mengalami kesan kerugian berikutan gempa bumi besar dan tsunami yang melanda negara matahari terbit itu.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, kesan bencana alam itu secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi pelabur atau syarikat Jepun di negara ini.

Menurutnya, sekiranya pelabur dan syarikat terbabit terjejas akibat bencana itu, pekerja tempatan yang berkhidmat dalam sektor tertentu di negara ini turut akan merasa tempiasnya.

“Jepun sebagai antara negara kuasa ekonomi dunia turut melabur di negara ini dan keadaan ini juga boleh menyebabkan rakyat tempatan yang bekerja di syarikat milik negara itu turut terkena tempiasnya,” katanya.

Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah berkata, kebanyakan pelabur Jepun melabur dalam sektor perkilangan di negara ini.

Menurutnya, dalam menangani tempias krisis itu, kementeriannya telah merangka pelbagai strategi atau kaedah tertentu sekiranya krisis ekonomi melanda seperti dua tahun lalu.

“Maknanya kita di Malaysia perlu bersedia menerima kesan secara langsung dan tidak langsung susulan tragedi tsunami di Jepun kerana sebelum ini, kita juga pernah berhadapan dengan saat getir semasa krisis ekonomi melanda dunia," katanya.

Beliau berkata, antara inisiatif yang disediakan kementerian termasuk membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas serta memberi latihan semula kepada pekerja terbabit.

“Bagaimanapun situasi yang berlaku itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana impak ekonomi dunia boleh terjejas jika ekonomi Jepun lumpuh,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...