Pelawat Blog

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA


FILEM Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) merupakan filem tempatan yang paling mahal kos penerbitannya iaitu mencecah RM8 juta dan ketiga termahal selepas Puteri Gunung Ledang (RM20 juta) dan Hanyut (RM11 juta).

HMM juga bukan setakat menjadi filem terbitan KRU Studios Sdn. Bhd. yang termahal kos pembikinannya tetapi ia turut mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila ia akan diedarkan di 72 buah negara.

Malah, Penerbit KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, dia bercadang mahu mempertandingkan filem itu di Academy Awards, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.

“Dengan kualiti dan jalan cerita HMM yang berdasarkan epik kerajaan Melayu pertama di Langkasuka, saya yakin filem ini mampu pergi jauh bukan sahaja ditayangkan di luar negara tetapi juga dipertandingkan di Academy Awards.

“Justeru saya bercadang untuk mempertandingkan HMM di Academy Awards pada tahun depan. Kalau boleh biarlah HMM disenaraikan dalam kategori filem-filem luar dan ditayangkan pada festival tersebut.

“Ini kerana, sebelum ini filem Puteri Gunung Ledang pernah dicalonkan dalam Top 50 filem-filem dari luar AS,” katanya sewaktu ditemui selepas pratonton HMM di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Perancangan itu mampu menambahkan lagi pencapaian HMM yang mencatat sejarah perfileman tanah air apabila ia akan ditayangkan di 72 negara seperti AS, Jerman, Eropah, United Kingdom, Russia, Kanada, China dan Australia.

HMM yang mula ditayangkan mulai 10 Mac lalu turut membanggakan Norman apabila pada hari pertama tayangannya di 67 pawagam seluruh negara termasuk dua di Brunei mengutip kutipan tiket RM500,000.

Menurut anggota kumpulan trio KRU ini, rekod yang dicapai melalui HMM lebih bagus berbanding filem-filem KRU Studios yang pernah diterbitkan sebelum ini terutamanya daripada segi kutipan tiket hari pertama ia ditayangkan di pawagam.

“Sebelum ini, filem Cicak-Man 2 mencatatkan filem KRU Studios yang paling banyak mengutip kutipan tiket hari pertama tayangannya iaitu RM300,000.

“Malah, saya jangkakan HMM juga akan mencapai kutipan tiket RM2 juta sehingga Ahad (semalam). Secara keseluruhan pula saya jangkakan filem ini mampu mengutip kutipan tiket sehingga RM8 juta,” jelasnya.

Tambah Norman, HMM hanya akan diedarkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) di luar negara selepas filem arahan Yusry Abdul Halim itu tamat tayangannya di seluruh negara bagi mengelakkan gejala cetak rompak.

Kata anak sulung daripada empat beradik ini, pendekatan itu dilakukan berdasarkan pengalaman KRU Studios menerbitkan filem berjudul Deadline pada tahun 2008 di mana ia menjadi mangsa gejala tersebut.

“Sewaktu menerbitkan Deadline kami terlebih dahulu memberi kebenaran pengedaran filem itu di luar negara terutamanya di AS sebelum ia ditayangkan di Malaysia menyebabkan ia menjadi mangsa cetak rompak.

“Akibatnya filem kami yang keenam dengan kos AS.4 juta (RM6.1 juta) itu tidak dapat ditayangkan kerana DVD cetak rompak sudahpun berada di pasaran. Bagi mengatasi masalah itu, tumpuan kami melalui jualan DVD sahaja.

“Untuk DVD Deadline yang menjalani penggambaran di Louisiana, AS kami telah mengedarkannya ke 40 buah negara antaranya Filipina, Mexico dan United Kingdom. Kami bernasib kerana filem itu tidak rugi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...