Pelawat Blog

Dana Belia 1Malaysia RM 20 Juta - Peluang Belia Tonjol Kreativiti


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta sebagai satu pencetus membuka ruang kepada golongan belia menggunakan kreativiti untuk membawa manfaat kepada masyarakat.

"Ini supaya (kita) tidak mengehadkan kreativiti yang mereka ada, dengan kebolehan untuk berfikir secara kreatif, memberikan idea yang bernas dalam konteks membangunkan negara dan nilai-nilai bersama berkongsi kejayaan dan bukannya untuk kepentingan diri," katanya.

Berucap ketika melancarkan dana itu di sini hari ini, beliau mengajak golongan belia agar berfikir secara kreatif, inovatif dan menggunakan sebarang imaginasi mereka ke tahap paling maksimum dalam usaha menghasilkan apa juga yang bermanfaat kepada komuniti setempat.

Beliau berkata dengan cabaran yang dilontarkan kepada belia untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif, mereka bakal teruja seterusnya
berkemungkinan mempunyai cadangan yang sebelum ini mungkin di luar kotak pemikiran mereka atau di luar jangkau sebelum ini.

Katanya dana itu akan menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk menunjukkan kualiti kepimpinan seawal mungkin selari dengan gagasan 1Malaysia.

Untuk membangunkan sesebuah negara, Najib berkata penyertaan golongan belia sangat penting kerana mereka yang bakal menjadi pemimpin negara kelak.

Najib berkata dana yang dicetus hasil idea Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) memberi pendekatan baru bukan dari "atas ke bawah" tetapi dengan cara memberi belia ruang seluasnya dengan idea yang mereka ada.

Perdana Menteri berkata dana daripada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) juga menggunakan pendekatan tidak konvensional tetapi ia amat sesuai untuk menjayakan tujuan dana diwujudkan.

"Saya juga masih terbuka dengan idea untuk mendekatkan diri dengan golongan belia dan percaya bahawa dengan menghargai, (ia dapat) memperkasakan golongan ini untuk masa depan," katanya.

Beliau berkata Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin akan bertindak sebagai ketua panel bagi menimbangkan sebarang cadangan yang dikemukakan sebelum dikemukakan kepadanya untuk mendapatkan kelulusan.

Antara contoh cadangan yang boleh dikemukakan ialah seperti membabitkan alam sekitar, bantuan kepada golongan miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ia termasuk cadangan daripada aspek kreatif seperti drama asalkan dalam lingkungan yang mampu dibantu oleh dana berkenaan, katanya.
Najib berkata dengan kerjasama syarikat Media Prima, satu rancangan realiti TV akan diwujudkan bagi belia menyertainya dan sama ada cadangan itu diterima atau tidak ia akan dinilai oleh hakim program berkenaan.

Dana Belia 1Malaysia untuk golongan belia berumur 15 hingga 40 tahun itu merupakan satu cara bagi memperkasakan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Cadangan projek atau program yang diadakan perlu berteraskan perpaduan, mempunyai kesan berganda terhadap penduduk yang diketuai oleh golongan belia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...